Beranda Seni Puisi Puisi-Puisi Malim Ghozali PK

Puisi-Puisi Malim Ghozali PK

139
BERBAGI
LANGIT DI BAITUL MUKARRAM

Hujan baru saja membangkitkan
bau tubuh bogel
anak-anak di jalan aspal
mencari penjuru mata

nurani baru saja mengingatkan
lagu pedih dari kota terluka
langkah demi langkah diatur perlahan
menuju Baitul Mukarram

suara telah mengumpulkan
entah siapa di jalan lebar
liku-liku sempit penuh duka
milik semua

cahaya sudah mengumpulkan mereka
di bawah langit Baitul Mukarram
yang kelam
di bawah langit Baitul Mukarram
yang hitam.

Dhaka Bangladesh, 10.5.84

DI PASAR BOGYOKE

Di pasar Bogyoke
jual apa saja
baju, celana dan lukisan
sayuran, batu delima atau intan
minuman dan makanan

di pasar Bogyoke
beli apa saja
serbuk cendana pelicin muka
kain sarung dan ukiran lama

di pasar Bogyoke
orang tengah menawarkan senyuman
aku asyik membaca iklan
tentang kemiskinan.

19th Street Pazungdaung
Yangon
Myanmar
Desember 2005

SESEKALI TERKENANG PUNCAK

Sesekali terkenang Puncak
angin meniti di lereng dingin
dan daun-daun pinus
bagai tak mengerti
gadis penjual strawberry bilakah
kering tubuhnya

sesekali terkenang Puncak
banglo-banglo kecil dan lampu suram
sayap malam pun menyelimut
wajah wak supir
terlengkung di dalam mobil

sesekali terkenang Puncak
harum pun memecah batas sempadan.

Kuala Lumpur, 17.4.85

SAJAK GALENA

Untuk sampai ke sini keluarlah sementara dari diri biarkan gerimis mengejar permatang ingatan bagai bumi kering dan basah kubiar segalanya tenggelam dalam mimpi di situ keindahan sentiasa menanti.  Jambatan hanya mempertemukan utara dan selatan hitam dan putih dan dua luka lama.  Percayalah.  Keras angin menghantar awanan menurunkan hujan di taman sejarah basah dan kering lagi ketika terseret ke dalam igauan ngeri dini hari.  Bila sampai di sini ia pasti sejarah, bukan lagi mimpi.

Galena, Illinois, Amerika Syarikat
Oktober 2007

PERKEBUNAN EPAL

Si gadis belum kukenali
tak henti memetik epal ranum
di ranting tinggi

dia tidak lagi peduli
terik panas dan duri
katanya di ini perbukitan
tetap wujud kemiskinan

di perkebunan
si gadis tak jemu
memetik epal ranum
di ranting tinggi

kalau boleh kutemani
akan kupetikkan buatnya
sebuah mimpi.

Rapid Creek
Iowa
Amerika Syarikat
September 2008

JANJI PARAMARIBO II

Ingatkan sebuah janji
kita namakan Paramaribo
di benua jauh lukisan dan catatan
yang tak pernah terlupakan

tumpah di ladang keringatmu
basah arimata tika pamitan desa
membangkit sayu
nusantara nenda

suatu waktu
di tepian kali
kau menyanyikan destini
aku melukiskan sendumu

Paramaribo
sejarahmu
dan kembaraku
menemukan rindu.

Paramabribo
Republik Suriname
Amerika Selatan
31 Agustus 2008

BIODATA

 

Haji Mohamed Ghozali Bin Haji Abdul Rashid atau Malim Ghozali PK lahir di Malim Nawar, Perak.  Mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Gunung Panjang. Setelah lulus Sarjana Muda Sastera Pengajian Melayu, 1973, ia melanjutkan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik. Pada 1989 mengikuti program Felo Penulisan Kreatif di Virginia Centre for Creative Artists, Amherst, Amerika Syarikat.

Pada Agustus-November 2007 menjadi Felo di Program Penulisan Antarabangsa Iowa, Amerika Syarikat. Lalu 2008 menjadi pemudahcara di program penulisan MASTERA di Arga Mulya, Bogor. Kini bertugas sebagai Felo Penyelidik Kanan di Institut Darul Ridzuan, Perak.

Sudah menghasilkan 4 buah novel (Redang, Janji Paramaribo, Daun dan Luka Nering, 3 buah kumpulan cerpen (Usia, Ini Chow Kit Road Sudilah Mampir dan Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim dan 3 buah kumpulan puisi (Gemaruang, Hujan di Limun Pagi dan Sajak-sajakku Tak Pernah Tahu selain buku-buku kajian.  Antaranya Kebenaran Mutlak Memahami Kesempurnaan.

Malim telah memenangi pelbagai hadiah dan anugerah.  Antara lain Hadiah Esso-GAPENA, HSKU-Public Bank, Hadiah Sastera Berita Publications, Hadiah Sastera Malaysia, HSKU-ExxonMobil dan Hadiah Sastera Perdana. Atas sumbangannya dalam penyelidikan terhadap al-Qur’an, Malim menerima Geran Penyelidikan daripada Yayasan FELDA, pada 2007. Pada Oktober 2013 menerima anugerah S.E.A. Write Award.